Sabtu, 30 Julai 2011

Kisah benar di sebalik Ramadhan.(mesti baca)

Ramadhan, Aku dan Ayah.
[Kisah benar ini sengaja saya terbitkan untuk tatapan para pembaca budiman. Mudah mudahan ada iktibar daripada kisah ini. Cerita ini telah diolah semula tanpa mengubah cerita sebenar namun nama-nama yang digunakan bukanlah nama sebenar. Selamat membaca.]

Entah apa puncanya, Ayah tiba-tiba naik angin. Habis semua cucu-cucunya yang sedang bermain di tengah rumah dihambatnya keluar. “Bising” katanya. Tergamam juga aku dibuatnya. Mungkin juga sebab tertekan kerana menanggung kesakitan akibat kakinya terkena parang ketika membersihkan kebun dua minggu lalu belum sembuh. Hampir satu minggu juga dia terlantar di hospital swasta di ibu kota akibat luka tetakan parang itu telah dijangkiti kuman. Mujurlah Ayah tiada penyakit kencing manis. Hampir tiga minggu juga dia tidak keluar rumah. Tidak ke kebun dan tidak boleh ke masjid. Dah lama tidak berjumpa kawan-kawan. Tentu Ayah bosan. Jika sihat dia sememangnya tidak boleh duduk diam.

Aku cuba menegur tindakan Ayah. “Budak-budak bermain macam itulah, bising, tapi janganlah Ayah marah sangat”. Aku cuba berbahasa seberapa molek yang mungkin. Ayah menoleh, merenung tajam dan marah-marah. Aku terdiam. Dalam fikiran, mengapalah agaknya jadi begini. Mungkinkah sangat terganggu dengan riuh rendah anak cucunya. Atau Ayah perlu bersendirian. Atau aku sendiri yang ada berbuat silap. Sudah lama Ayah tak menengking aku. Semasa kecil pun Ayah tidak pernah menjentik, apatah lagi memukul aku. Biarpun aku nakal. Aku rasa Ayah perlu bersendirian.

“Hujung minggu depan aku tak mahu balik”. Hati kecil berkata. Mungkin kerana aku balik kampung setiap minggu menyebabkan Ayah rasa bosan. Dia mahu anak-anaknya yang lain balik juga. Walaupun tidak diluahkannya, tapi riak wajah ayah begitu. Kemudian petang minggu itu aku pulang awal ke kota. Selepas Zuhor aku bertolak meninggalkan ayah dan ibu yang masih terpinga-pinga. Biasanya akulah orang terakhir meninggalkan mereka. Tetapi tidak kali ini. Ibu faham, aku sedang merajuk dengan ayah.
Sebelum melangkah, aku sempat merenung dalam-dalam wajah ayah yang masih lesu. Dia demam. Aku hulurkan tangan, salam dan mencium tangannya. “Maafkan aku ayah”.
Apabila aku melangkah ke halaman, ayah terus melangkah perlahan masuk ke rumah. Bagai hendak luruh rasanya hati aku. Biasanya ayah akan berdiri di pintu hingga aku hilang dari halaman rumah. Tetapi tidak kali ini. Dalam perjalanan itu aku memohon kepada Yang Maha Esa, ‘sembuhkanlah ayah cepat’.

Dua hari berikutnya aku menelefon ibu, aku tanyakan khabar ayah. Ibu kata ayah dah baik. Demamnya semakin sembuh. Lukanya semakin pulih dan ayah sudah boleh menunggang motorsikal semula. Ayah dapat ke masjid untuk meninjau kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan kotraktor. Esok ada gotong royong bersama penduduk kampung untuk membersihkan masjid. Jumaat nanti pegawai dari pejabat agama akan datang melawat. Sebagai nazir, sememangnya dialah orang yang paling sibuk. Ayah gagahkan juga diri untuk pergi ke masjid walupun beberapa kali ibu menasihati supaya berehat sahaja dirumah. Tetapi, jauh disudut hati ibu ada perasaan gembira teramat sangat kerana ayah telah pulih seperti biasa.


Pada petang 14 Ramadhan keesokannya, ibu sibuk menguli tepung untuk dibuat karipap sebagai juadah berbuka puasa dan selebihnya boleh di bawa ke masjid untuk hidangan jemaah selepas solat sunat terawih nanti. Sambil itu, ibu mereneh asam kari ikan bawal. Itu permintaan ayah. Sememangnya sudah lama ibu tidak masak menu itu.  Ketika ke masjid pagi tadi, ayah sempat ke pasar. Dia pulang semula ke rumah, diserahkannya barang yang dibeli kepada ibu kemudian dia keluar semula dengan motorsikalnya. Ibu tahu ayah ke masjid semula.

Waktu Asar sudah lama berlalu. Ayah belum pulang lagi. “Banyak lagi agaknya urusan di masjid tu”. Bisik hati ibu. Dia tidak sabar untuk menghidangkan kari kegemaran ayah waktu berbuka nanti.  Tiba-tiba ibu dengar ucapan salam dari arah depan rumah. Rupa-rupanya Encik Yusof jiran sekampung datang dengan dua orang anggota polis. Setelah memperkenalkan diri, anggota polis itu menyampaikan berita bahawa ayah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di bandar. Keadaannya agak kritikal dan tidak sedarkan diri. Ibu seperti tidak percaya. Yang ibu tahu ayah masih di masjid. “Betul tadi dia di masjid, tugasnya dah selesai, kemudian dia hendak tolong kami buat kerja berat, tapi kami tak bagi” Encik Yusof cuba mententeramkan ibu. “Kami risau dia sakit semula” sambung Encik Yusof. “Kemudian dia kata hendak ke pekan, beli juadah berbuka katanya”. Encik Yusof menyudahkan ceritanya. Ibu terduduk mendengar cerita Encik Yusop. Luluh hati ibu. Matanya mula berkilau. Sebaknya tak tertahan lagi. “Biar saya telefon anak-anak akak”. Kata Encik Yusof cuba tenteramkan ibu. “Iyalah, nombornya ada di dinding sana”. Suara ibu tersekat sekat menahan sebak.

Sebaik mendapat berita, perasaan aku bercampur baur. Terkejut! Aku terkejut bagaimana ayah boleh sampai ke bandar dalam keadaan tidak berapa sihat. Kalaupun sudah sihat apa perlunya sampai ke bandar yang ambil masa lebih 30 minit dengan kereta. Inikan pula dengan motorsikal. Kecewa! Aku kecewa kerana ayah tidak boleh duduk diam bila rasa sihat.  Kesal! Aku tidak berada di kampung ketika itu. Aku berdebar-debar, bagimanalah keadaan ayah.
Petang  itu kami semua bergegas pulang ke kampung. Semua urusan ditinggalkan begitu sahaja.  Aku yang sedang bermesyuarat dengan pelanggan meninggalkan mereka terpinga-pinga. Waktu Maghrib aku tiba di hospital. Sanak- saudara dan jemaah masjid sudah tiba. Ayah masih dalam bilik rawatan kecemasan. Kami dibenarkan melawat bergilir-gilir. Pedih rasa hati bila melihat ayah  terlantar di atas katil sedang bertarung menahan kesakitan. Sesekali terdengar suaranya mengerang perlahan. Ayah mengalami pendarahan serius dalam kepala.

“Assalamu’alaikum ayah”. Aku bisikkan perlahan di telinga ayah. Aku tidak dapat menahan sebak. “Saya datang ayah”. Aku cium pipi ayah, dia seperti tersentak bila pipinya terkena air mata. “Bersabar ya ayah, ingat pada Allah”.  Aku bisikkan lagi zikir-zikir ringkas nama Allah. Inilah dugaan Allah paling besar kepada aku. Ketika inilah aku semakin yakin tiada kuasa lain melainkan Allah Yang Maha Esa. Aku berasa lemah, terlalu lemah. Kepada siapa lagi perlu aku minta pertolongan. Aku hanya mampu merayu. Merayu kepada Tuhan Yang Maha Mencipta, bantulah ayah. Akhirnya suara tidak terkeluar lagi. Aku menekup muka dengan tangan dan menangis semahunya merasakan diri ini terlalu kerdil, lemah dan hina. Jemaah yang hadir mententeramkan aku. “Bersabarlah, jangan lemah semangat”. Kata mereka.

Malam itu ayah dimasukkan ke wad rawatan rapi. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, aku bersetuju untuk menemani ayah di hospital. Jururawat memberikan kerjasama yang baik. Mereka turut memahami  keadaan pesakit dan ahli keluarga yang menunggu. Aku ucapkan terima kasih kepada mereka. Kasihan ayah. Sesekali kelihatan ayah cuba bergerak, tetapi tangan dan kakinya diikat pada katil. Mereka tidak mahu ayah banyak bergerak kerana khuatir wayar yang berselirat itu akan tercabut. Apa patut aku buat? Biarkan ayah begitu, terikat pada katil besi, tidak dibenarkan bergerak. Ataupun perlukah aku membuka ikatan. Biarkan ayah bergerak tanpa sedar. Bagaimana pula andai nanti semua wayar tercabut. Akhirnya aku biarkan sahaja. Aku tak tahu apa ayah mahu. Bibirnya bergerak gerak, tetapi suaranya tiada. Kasihan ayah. Malam itu dia demam. Panasnya tinggi. Jururawat memasukkan ubat demam  dalam tiub dan tuala lembab diletakkan di badan ayah untuk menurunkan suhunya.

Awal pagi 15 Ramadhan, ayah diberi ubat penenang lagi bagi meredakan kesakitannya. Beberapa orang doktor pakar masih lagi memantau perkembangan keadaan ayah. Salah seorang doktor datang dan memberitahu keadaan ayah sangat kritikal. Pendarahan dalam otaknya masih belum berhenti walaupun telah diberi suntikan beberapa kali. Buat masa itu, tidak banyak perkara boleh dilakukan, melainkan menunggu dan berdoa. Sekali lagi jantung aku bagai diragut. Berdegup laju namun seluruh badan terasa longlai. Aku duduk disebelah ayah, aku usap rambutnya yang putih dengan tuala lembab, aku bersihkan mukanya yang kemas, sebelum kemalangan ayah sempat ke kedai gunting. Aku basahkan lagi badan ayah yang hangat dan tangannya dengan tuala lembab, hingga ke hujung kaki. Harap ayah tahu aku sayangkan dia. Kami semua sayangkan ayah. Lalu aku capai surah Yaasin dan aku bacakan di telinga ayah. Aku merayu kepada Allah, panjangkan umur ayah, janganlah ambil ayah, berilah kami pinjam lagi ayah kami Ya Allah.
Pagi 16 Ramadhan Kak Ngah menggantikan Abang Lang menemani ayah dari malam sebelumnya. Begitulah rutin kami setiap hari selain dari datang melawat pada waktu melawat yang ditetapkan pihak hospital. Doktor Suresh yang bertugas ketika itu datang menemui Kak Ngah, katanya ayah tiada harapan lagi. Doktor itu menasihati Kak Ngah supaya ayah dibawa pulang. Katanya lagi, jika dicabut saluran bantuan pernafasan, 95 peratus ayah akan meninggal dunia. Jadi dia menasihati supaya ianya dicabut di rumah.
Kak Ngah tergamam, terkejut dengan ulasan doktor namun dia redha jika itu ketentuanNya. Kami semua adik-beradik dipanggil ke hospital, berbincang sesama sendiri. Aku menelefon sanak saudara yang lain untuk minta pendapat. Pelbagai pandangan aku terima, ada yang beri pendapat supaya tunggu dahulu dan teruskan ikhtiar, ada pula kata ikut cadangan doktor. Aku jadi bingung. Akhirnya kami buat satu keputusan, walaupun berat hati, kami akan bawa ayah pulang seperti cadangan doktor tadi.

Aku dan Abang Lang pergi ke kaunter jururawat untuk urusan membawa ayah pulang. Adik beradik yang lain sudah pulang ke rumah ibu, membuat persiapan untuk kepulangan ayah nanti.
Ketua jururawat terkejut dengan keputusan kami. Dia minta kami berbincang dengan doktor yang bertugas terlebih dahulu. Selepas setengah jam menunggu, doktor pakar yang bertugas tiba. Setelah diberi penerangan oleh ketua jururawat apa yang terjadi, doktor tadi memberitahu dia tidak ada beri arahan supaya ayah dibawa pulang malah dia sendiri mahu ayah terus dirawat di situ. Aku menelefon Kak Ngah untuk kepastian, sememangnya bukan doktor itu. Lain namanya. Doktor Radhi memberi jaminan akan memberikan rawatan sebaik mungkin kepada ayah. Tidak perlu bawa pulang katanya.
Aku dan Abang Lang berasa lega. Doktor Radhi berjanji akan menyiasat siapa yang memberi arahan itu. Akhirnya ayah tetap di hospital itu untuk mendapatkan rawatan.

Malam itu giliran aku menemani ayah. Oleh kerana terlalu letih aku terlelap dihujung kaki ayah. Ayah memanggil aku. Katanya dia sudah sihat dan doktor benarkan dia pulang. Aku hairan. Tidak mungkin semudah itu. Wajah ayah masih lesu. Ayah tersenyum cuba meyakinkan aku. Aku peluk ayah kerana gembira. Tiba-tiba aku ditepuk dari belakang beberapa kali. Aku tersentak. “Encik, tolong beri pakcik minum boleh?” Oh! Dah Subuh rupanya. “Astaghfirullah hal azim, Aku bermimpi rupanya”. “Baiklah, biar saya yang beri” Aku ambil susu dari jururawat dan masukkan ke mulut ayah melalui tiub. Kasihan ayah. Dia masih kaku di situ.

Selepas solat Subuh aku datang semula. Kaki dan tangan ayah aku picit-picitkan dengan harapan dapat membantu ayah untuk pulih. Hari berikutnya kami menyusun semula jadual masing-masing untuk menjaga ayah di hospital. Abang Lang telah korbankan cuti tahunannya seminggu. Kami telah sepakat mengikut giliran supaya semua tiada masalah di tempat kerja.

Giliran aku tiba pada Ahad 22 Ramadhan. Dua hari sebelum itu ayah telah mula tunjukkan perkembangan baik. Ayah mula beri tindak balas apabila kakinya di sentuh. Jari-jari tangannya sudah ada pergerakan bila tangannya diramas-ramas ibu. Walaupun tidak banyak, itu sudah cukup untuk memberi semangat kepada kami. Ayah akan sembuh nanti. Tambahan pula pada 22 Ramadhan itu ayah sudah boleh membuka mata. Tiub bantuan pernafasan yang masuk melaui mulut terus ke paru-paru juga telah dikelurkan. Kolar yang menahan lehernya juga telah ditanggalkan. Kini ayah sudah boleh menoleh perlahan lahan kekiri dan ke kanan. Tapi dia masih lesu. Nampak tidak bertenaga. Sesekali dia membuka matanya. Kemudian tutup semula. Aku duduk di sisi ayah, sesekali aku bacakan Surah Yaasin supaya dapat memberi kekuatan pada ayah. Bacaan terhenti bila ayah menoleh dan seolah-olah bertanyakan sesuatu. Mulutnya bergerak-gerak tetapi suaranya tidak jelas. Beberapa kali dia mencuba, akhirnya dia penat dan dipejamkannya mata semula. Air mata keluar dari hujung matanya. Aku kesatkan dengan lengan bajuku. Sebak dan hiba mula membuak di dada. Aku cium pipinya, kemudian tangannya. Aku mohon maaf jika aku silap padanya. Kemudian aku sambung semula bacaan Yaasin. Setelah selesai, aku picit-picitkan tangan dan kaki ayah. Jari jemarinya aku ramas-ramaskan agar perjalanan darahnya lancar. Ayah terjaga. Sekali lagi dia cuba berkata-kata tanpa suaranya. Aku masih tak dapat memahami. Akhirnya dari gerak mulut ayah aku dapat jangkakan ayah bertanyakan ‘emak’. Mungkin ayah mahu jumpa ibu. Lalu aku menelefon adik supaya datang hantar ibu ke hospital. Ibu datang bersama adik pada waktu melawat.

Ayah tersedar bila ibu memicit-micit tangan ayah. Ayah membuka mata. Kepalanya diangkat perlahan-lahan sambil mulutnya bergerak-gerak seperti tanyakan sesuatu kepada ibu. “Ya, dah seminggu abang di sini”. Kata ibu perlahan seperti memahami maksud ayah. “Sekarang ini di hospital, dah baik nanti baliklah”. Mata ayah yang layu merenung tepat pada wajah ibu, seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Mulutnya bergerak gerak lagi. Ibu cuba memahami. Ayah pejamkan mata semula. Mungkin dia tahu kami tidak faham. Air matanya mengalir perlahan di tepi pipi. Aku tidak dapat menahan sebak. Tangan ayah aku genggam kuat. “Sabar ayah, ingat pada Allah, zikirlah ayah”. Aku cuba beri semangat yang aku sendiri tidak milikinya. Ibu pergi ke tepi tingkap. Dia merenung jauh ke luar. Aku  biarkan ibu sendirian dengan perasaannya. Seperti selalu, aku bacakan lagi surah Yaasin di tepi ayah.
Lewat petang 22 Ramadhan itu ayah diberi ubat lagi. Biasanya dia akan rehat lama selepas diberi ubat. Kesempatan itu aku menghantar ibu pulang ke rumah. Semenjak ayah di hospital, rutin kehidupan kami tidak seperti biasa. Kami banyak menghabiskan masa di hospital. Apa lagi yang mampu kami korbankan untuk ayah. Ayah yang sentiasa berkorban untuk anak-anaknya. Ayah yang membesarkan kami dari kecil. Walaupun ayah tegas, tapi dia penyayang. Ayah tidak pernah menunjuk-nunjuk kasih-sayangnya pada kami, tetapi siapa yang memahami pasti akan dapat merasa.

Malam itu aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur. Lama benar tidak ke pejabat. Aku tidak tahu apa yang berlaku disana. Langsung tidak ambil tahu. Aku benar-benar terkejut bila dapat berita ayah kemalangan. Aku tinggalkan ayah seketika bersendirian pada malam itu. Ayah nampak tenang. Dia masih tidur ketika aku meninggalkannya. Aku harap ayah akan semakin pulih, walaupun tidak seperti sediakala. Seperti kata doktor, andainya perkembangan ayah semakin baik, mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi ayah boleh dibawa pulang. Itu berita gembira buat kami sekeluarga biarpun ayah tidak boleh bergerak ke mana-mana. Kami sekeluarga telah berpakat untuk menjaga ayah. Berbagai persiapan akan dilakukan untuk memberi keselesaan pada ayah bila dia di rumah nanti. Jururawat juga telah mengajar kami bagaimana untuk beri ayah makan dengan tiub buat sementara. Malam itu aku pulang dengan perasaan lega. Esok Kak Teh akan menemani ayah pula.

Isnin 23 Ramadhan, aku mulakan kerja seperti biasa. Masuk pejabat dan duduk di kerusi, ah banyaknya kerja tertangguh. Tapi tak mengapalah, aku akan uruskan satu per satu. Perlahan-lahan aku cuba sudahkannya. Sesekali aku berhenti, ingat pada ayah, harap ayah semakin pulih hari ini. Aku teruskan semula buat kira-kira sebutharga. Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi, kak teh rupanya. Alhamdulillah, boleh tanya khabar ayah.
“Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikummussalam”
“Pak Cik kat mana”
“Pejabat”
“Kerja ya?”
“Ya, Kak Teh di mana ni?”
“Hospital..”
“Oh..ayah macam mana harini”
Kak Teh terdiam…
“Hello Kak Teh…”
Aku mula berdebar-debar.
“Ya…semalam Pak Cik jaga ayah macam mana keadaannya?” Soal Kak Teh
“O.k…nampak semakin pulih, ada tindak balas. Kenapa?”
“Hari ini ayah nampak lain, nafasnya kuat” kata Kakteh. Aku jadi serba tak kena. Sekejap aku duduk, kemudian berdiri. Aku berjalan ke tepi tingkap.
“Doktor ada tak?” Aku soal Kak Teh.
“Ada, mereka tengah uruskan ayah. Hendak pasang oksigen semula”.
“O.k…Kak Teh tunggu di sana ya, mungkin selepas pasang oksigen ayah akan baik semula tu”. Aku cuba tenangkan Kak Teh.
“Iya lah..”
Aku tidak boleh duduk diam di pejabat. Degup jantung makin kuat. Cuba sambung buat kira-kira, sikit sahaja lagi. Tapi semuanya serba tak kena. Tangan terketar-ketar perlahan. Akhirnya aku ambil keputusan untuk pulang sahaja. Aku akan ke hospital sekarang. Kemaskan meja ala kadar dan terus pulang. Motorsikal dipecut laju. Pedal minyak dipulas semahunya. Biar cepat sampai. Terasa perjalanan sangat jauh. Tiba-tiba telefon bimbit bergetar. Motorsikal diperlahankan dan aku berhenti di tempat yang sesuai di tepi lebuhraya. Kak Teh telefon.
“Pakcik..” Suara Kak Teh kali ini lain, bergetar dan perlahan.
“Saya”
“Ada kat mana?”
“Dalam perjalanan pulang, kenapa ni Kak Teh?”
“Ayah….. baru pergi…”kata-kata Kak Teh terhenti di situ. Terdengar dia menahan sebaknya.
“Kakteh bersabar ya, nanti saya sampai” Aku cuba tenangkan kak Teh, sedangkan aku sendiri sudah tidak tentu arah. Seperti dunia sedang dilanda ribut. Rasa terpukul dengan angin deras. Aku tongkat kan motorsikal dan duduk di atas rumput. Merenung jauh arah lebuhraya yang tak pernah berhenti. Sebuah motorsikal menghampiri dan berhenti.
“Assalamu’alaikum, ustaz jatuh motor ke?”
Aku menoleh padanya, dan menggeleng-gelengkan kepala.
“Maafkan saya, tapi kenapa ustaz menangis? Boleh saya bantu?” Tanya pemuda itu sambil duduk di sebelah. Dia nampaknya ikhlas. Aku tidak sedar air mata masih bergenang.
“Saya baru dapat berita….ayah baru meninggal…” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata.
“Maafkan saya ustaz, bersabarlah, semua kita akan mati bila tiba masa, mungkin masanya sudah tiba, biarkanlah dia pergi dengan aman”. Katanya sambil menepuk-nepuk bahu aku. Benar kata-katanya itu. “Terima kasih”. Itu sahaja yang aku mampu. Aku teruskan perjalanan. Kini perjalananku tanpa seorang ayah.
Ramadhan kali ini meninggalkan kesan kepada kami. Mudah mudahan ayah ditempatkan bersama para shuhada’. Amin.
Bersambung kemudian…..
{ Kepada anda yang masih punyai ayah dan ibu, hargailah mereka sementara mereka masih bersama kita. Janganlah ditangguhkan sesuatu yang baik untuk mereka. Andai esok mereka diambil Ilahi, akan hilanglah peluang syurga untuk kita.Terima kasih kerana meluangkan masa }

2 ulasan:

  1. sayu..
    T______T
    sempat jg atuk!
    mga diampunkan dosanya dan ditempatkn di kalangn mereka yg beriman,,,amiiin

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum…

    Al-Fatihah…
    Semoga arwah ditempatkan di kalangan para solihin…
    Yang hidup, perlu terus tabah meniti ranjau kehidupan…
    Yang telah pergi, diiringi dengan doa anak-anak soleh saban hari…
    InsyaAllah dipermudahkan segala urusan…
    Baik yang di sini, mahupun yang di sana…

    P/S: Laa Tahzan… Allah will always be there for you… =)

    BalasPadam

tinggalakan ulasan anda walaupun dengan 1 perkataan><_><