Khamis, 4 Ogos 2011

Fadhilat Ramadhan

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban:

Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang mana Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.


Ia adalah bulan kesabaran di mana ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahalanya." Sahabat-sahabat r.a. lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."


Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah S.W.T. dan akan dilepaskan dari azab api neraka.


Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah dan meminta perlindungan dari api neraka.


Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah s.w.t. akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.


(Hadis riwayat Ibnu Huzaimah dan Baihaqi)

Sabtu, 30 Julai 2011

Amalan Yang Tidak Merugikan


Zikir harian :


ISNIN : LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLA HIL ALIYYIL AZIM – 1,000 KALI,  
SATU KALIMAT UMPAMA SATU BUKIT UHUD. BANYAK KALI SEBUT HILANGLAH SIFAT MENUNJUK-NUNJUK, KEJI, RIAK, TAKABBUR, SAYANGKAN DUNIA DAN SEBAGAINYA.

SELASA : ALLAHUMMA SOLLI ALA MUHAMMADIN ABDIKA WARUSULIKA NABIYYI WA UMMIYYI WA’ALA ALIHI WASOHBIHI WABARIK WASALLIM – 1,000 KALI,
ALLAH AMPUNKAN DOSANYA SATU TAHUN (KALAU NAK PENDEK SELAWAT KE ATAS NABI)


RABU : ASTAGHFIRULLAH AL’AZZIM AL-LAZI LAA ILA HA ILLA HUWAL HAYYUL QAYYUM – 1,000 KALI,
SATU KALI SEBUT HILANG SATU TITIK HITAM DALAM HATI KITA. SATU TITIK HITAM ADALAH DARI SATU DOSA, JIKA TIDAK MEMINTA MAAF (MENGHILANGKANNYA) WALAUPUN SEMBAHYANG,KITA AKAN MASUK NERAKA SELAMA MANA TITIK HITAM TERSEBUT BERADA DALAM HATI KITA.


KHAMIS : SUBHANALLAHIL AZIMI WABIHAMDIH – 1,000 KALI,
ALLAH AMPUNKAN DOSA SEBANYAK BUIH DILAUT, DAN SATU KALI SEBUT TUMBUH SATU POHON SYURGA UNTUK KITA DI TAMAN SYURGA.


JUMAAT : YA ALLAH – 1,000 KALI,   
ALLAH HAMPIR KEPADA KITA, ALLAH BERI KITA SOLAT, ISLAM, RAJIN, SUKA, LAZAT, BERAMAL IBADAH, TIDAK MALU TUTUP AURAT BAGI PEREMPUAN.

SABTU : LAA ILAHA ILLA ALLAH – 1,000 KALI,
SENANG HATI, AMAN DAN TENTERAM.


AHAD : YA HAYYU YA QAYYUM – 1,000 KALI,
ALLAH HIDUPKAN KITA DAN BERI PELIHARAANNYA.

Kisah benar di sebalik Ramadhan.(mesti baca)

Ramadhan, Aku dan Ayah.
[Kisah benar ini sengaja saya terbitkan untuk tatapan para pembaca budiman. Mudah mudahan ada iktibar daripada kisah ini. Cerita ini telah diolah semula tanpa mengubah cerita sebenar namun nama-nama yang digunakan bukanlah nama sebenar. Selamat membaca.]

Entah apa puncanya, Ayah tiba-tiba naik angin. Habis semua cucu-cucunya yang sedang bermain di tengah rumah dihambatnya keluar. “Bising” katanya. Tergamam juga aku dibuatnya. Mungkin juga sebab tertekan kerana menanggung kesakitan akibat kakinya terkena parang ketika membersihkan kebun dua minggu lalu belum sembuh. Hampir satu minggu juga dia terlantar di hospital swasta di ibu kota akibat luka tetakan parang itu telah dijangkiti kuman. Mujurlah Ayah tiada penyakit kencing manis. Hampir tiga minggu juga dia tidak keluar rumah. Tidak ke kebun dan tidak boleh ke masjid. Dah lama tidak berjumpa kawan-kawan. Tentu Ayah bosan. Jika sihat dia sememangnya tidak boleh duduk diam.

Aku cuba menegur tindakan Ayah. “Budak-budak bermain macam itulah, bising, tapi janganlah Ayah marah sangat”. Aku cuba berbahasa seberapa molek yang mungkin. Ayah menoleh, merenung tajam dan marah-marah. Aku terdiam. Dalam fikiran, mengapalah agaknya jadi begini. Mungkinkah sangat terganggu dengan riuh rendah anak cucunya. Atau Ayah perlu bersendirian. Atau aku sendiri yang ada berbuat silap. Sudah lama Ayah tak menengking aku. Semasa kecil pun Ayah tidak pernah menjentik, apatah lagi memukul aku. Biarpun aku nakal. Aku rasa Ayah perlu bersendirian.

“Hujung minggu depan aku tak mahu balik”. Hati kecil berkata. Mungkin kerana aku balik kampung setiap minggu menyebabkan Ayah rasa bosan. Dia mahu anak-anaknya yang lain balik juga. Walaupun tidak diluahkannya, tapi riak wajah ayah begitu. Kemudian petang minggu itu aku pulang awal ke kota. Selepas Zuhor aku bertolak meninggalkan ayah dan ibu yang masih terpinga-pinga. Biasanya akulah orang terakhir meninggalkan mereka. Tetapi tidak kali ini. Ibu faham, aku sedang merajuk dengan ayah.
Sebelum melangkah, aku sempat merenung dalam-dalam wajah ayah yang masih lesu. Dia demam. Aku hulurkan tangan, salam dan mencium tangannya. “Maafkan aku ayah”.
Apabila aku melangkah ke halaman, ayah terus melangkah perlahan masuk ke rumah. Bagai hendak luruh rasanya hati aku. Biasanya ayah akan berdiri di pintu hingga aku hilang dari halaman rumah. Tetapi tidak kali ini. Dalam perjalanan itu aku memohon kepada Yang Maha Esa, ‘sembuhkanlah ayah cepat’.

Dua hari berikutnya aku menelefon ibu, aku tanyakan khabar ayah. Ibu kata ayah dah baik. Demamnya semakin sembuh. Lukanya semakin pulih dan ayah sudah boleh menunggang motorsikal semula. Ayah dapat ke masjid untuk meninjau kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan kotraktor. Esok ada gotong royong bersama penduduk kampung untuk membersihkan masjid. Jumaat nanti pegawai dari pejabat agama akan datang melawat. Sebagai nazir, sememangnya dialah orang yang paling sibuk. Ayah gagahkan juga diri untuk pergi ke masjid walupun beberapa kali ibu menasihati supaya berehat sahaja dirumah. Tetapi, jauh disudut hati ibu ada perasaan gembira teramat sangat kerana ayah telah pulih seperti biasa.


Pada petang 14 Ramadhan keesokannya, ibu sibuk menguli tepung untuk dibuat karipap sebagai juadah berbuka puasa dan selebihnya boleh di bawa ke masjid untuk hidangan jemaah selepas solat sunat terawih nanti. Sambil itu, ibu mereneh asam kari ikan bawal. Itu permintaan ayah. Sememangnya sudah lama ibu tidak masak menu itu.  Ketika ke masjid pagi tadi, ayah sempat ke pasar. Dia pulang semula ke rumah, diserahkannya barang yang dibeli kepada ibu kemudian dia keluar semula dengan motorsikalnya. Ibu tahu ayah ke masjid semula.

Waktu Asar sudah lama berlalu. Ayah belum pulang lagi. “Banyak lagi agaknya urusan di masjid tu”. Bisik hati ibu. Dia tidak sabar untuk menghidangkan kari kegemaran ayah waktu berbuka nanti.  Tiba-tiba ibu dengar ucapan salam dari arah depan rumah. Rupa-rupanya Encik Yusof jiran sekampung datang dengan dua orang anggota polis. Setelah memperkenalkan diri, anggota polis itu menyampaikan berita bahawa ayah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di bandar. Keadaannya agak kritikal dan tidak sedarkan diri. Ibu seperti tidak percaya. Yang ibu tahu ayah masih di masjid. “Betul tadi dia di masjid, tugasnya dah selesai, kemudian dia hendak tolong kami buat kerja berat, tapi kami tak bagi” Encik Yusof cuba mententeramkan ibu. “Kami risau dia sakit semula” sambung Encik Yusof. “Kemudian dia kata hendak ke pekan, beli juadah berbuka katanya”. Encik Yusof menyudahkan ceritanya. Ibu terduduk mendengar cerita Encik Yusop. Luluh hati ibu. Matanya mula berkilau. Sebaknya tak tertahan lagi. “Biar saya telefon anak-anak akak”. Kata Encik Yusof cuba tenteramkan ibu. “Iyalah, nombornya ada di dinding sana”. Suara ibu tersekat sekat menahan sebak.

Sebaik mendapat berita, perasaan aku bercampur baur. Terkejut! Aku terkejut bagaimana ayah boleh sampai ke bandar dalam keadaan tidak berapa sihat. Kalaupun sudah sihat apa perlunya sampai ke bandar yang ambil masa lebih 30 minit dengan kereta. Inikan pula dengan motorsikal. Kecewa! Aku kecewa kerana ayah tidak boleh duduk diam bila rasa sihat.  Kesal! Aku tidak berada di kampung ketika itu. Aku berdebar-debar, bagimanalah keadaan ayah.
Petang  itu kami semua bergegas pulang ke kampung. Semua urusan ditinggalkan begitu sahaja.  Aku yang sedang bermesyuarat dengan pelanggan meninggalkan mereka terpinga-pinga. Waktu Maghrib aku tiba di hospital. Sanak- saudara dan jemaah masjid sudah tiba. Ayah masih dalam bilik rawatan kecemasan. Kami dibenarkan melawat bergilir-gilir. Pedih rasa hati bila melihat ayah  terlantar di atas katil sedang bertarung menahan kesakitan. Sesekali terdengar suaranya mengerang perlahan. Ayah mengalami pendarahan serius dalam kepala.

“Assalamu’alaikum ayah”. Aku bisikkan perlahan di telinga ayah. Aku tidak dapat menahan sebak. “Saya datang ayah”. Aku cium pipi ayah, dia seperti tersentak bila pipinya terkena air mata. “Bersabar ya ayah, ingat pada Allah”.  Aku bisikkan lagi zikir-zikir ringkas nama Allah. Inilah dugaan Allah paling besar kepada aku. Ketika inilah aku semakin yakin tiada kuasa lain melainkan Allah Yang Maha Esa. Aku berasa lemah, terlalu lemah. Kepada siapa lagi perlu aku minta pertolongan. Aku hanya mampu merayu. Merayu kepada Tuhan Yang Maha Mencipta, bantulah ayah. Akhirnya suara tidak terkeluar lagi. Aku menekup muka dengan tangan dan menangis semahunya merasakan diri ini terlalu kerdil, lemah dan hina. Jemaah yang hadir mententeramkan aku. “Bersabarlah, jangan lemah semangat”. Kata mereka.

Malam itu ayah dimasukkan ke wad rawatan rapi. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, aku bersetuju untuk menemani ayah di hospital. Jururawat memberikan kerjasama yang baik. Mereka turut memahami  keadaan pesakit dan ahli keluarga yang menunggu. Aku ucapkan terima kasih kepada mereka. Kasihan ayah. Sesekali kelihatan ayah cuba bergerak, tetapi tangan dan kakinya diikat pada katil. Mereka tidak mahu ayah banyak bergerak kerana khuatir wayar yang berselirat itu akan tercabut. Apa patut aku buat? Biarkan ayah begitu, terikat pada katil besi, tidak dibenarkan bergerak. Ataupun perlukah aku membuka ikatan. Biarkan ayah bergerak tanpa sedar. Bagaimana pula andai nanti semua wayar tercabut. Akhirnya aku biarkan sahaja. Aku tak tahu apa ayah mahu. Bibirnya bergerak gerak, tetapi suaranya tiada. Kasihan ayah. Malam itu dia demam. Panasnya tinggi. Jururawat memasukkan ubat demam  dalam tiub dan tuala lembab diletakkan di badan ayah untuk menurunkan suhunya.

Awal pagi 15 Ramadhan, ayah diberi ubat penenang lagi bagi meredakan kesakitannya. Beberapa orang doktor pakar masih lagi memantau perkembangan keadaan ayah. Salah seorang doktor datang dan memberitahu keadaan ayah sangat kritikal. Pendarahan dalam otaknya masih belum berhenti walaupun telah diberi suntikan beberapa kali. Buat masa itu, tidak banyak perkara boleh dilakukan, melainkan menunggu dan berdoa. Sekali lagi jantung aku bagai diragut. Berdegup laju namun seluruh badan terasa longlai. Aku duduk disebelah ayah, aku usap rambutnya yang putih dengan tuala lembab, aku bersihkan mukanya yang kemas, sebelum kemalangan ayah sempat ke kedai gunting. Aku basahkan lagi badan ayah yang hangat dan tangannya dengan tuala lembab, hingga ke hujung kaki. Harap ayah tahu aku sayangkan dia. Kami semua sayangkan ayah. Lalu aku capai surah Yaasin dan aku bacakan di telinga ayah. Aku merayu kepada Allah, panjangkan umur ayah, janganlah ambil ayah, berilah kami pinjam lagi ayah kami Ya Allah.
Pagi 16 Ramadhan Kak Ngah menggantikan Abang Lang menemani ayah dari malam sebelumnya. Begitulah rutin kami setiap hari selain dari datang melawat pada waktu melawat yang ditetapkan pihak hospital. Doktor Suresh yang bertugas ketika itu datang menemui Kak Ngah, katanya ayah tiada harapan lagi. Doktor itu menasihati Kak Ngah supaya ayah dibawa pulang. Katanya lagi, jika dicabut saluran bantuan pernafasan, 95 peratus ayah akan meninggal dunia. Jadi dia menasihati supaya ianya dicabut di rumah.
Kak Ngah tergamam, terkejut dengan ulasan doktor namun dia redha jika itu ketentuanNya. Kami semua adik-beradik dipanggil ke hospital, berbincang sesama sendiri. Aku menelefon sanak saudara yang lain untuk minta pendapat. Pelbagai pandangan aku terima, ada yang beri pendapat supaya tunggu dahulu dan teruskan ikhtiar, ada pula kata ikut cadangan doktor. Aku jadi bingung. Akhirnya kami buat satu keputusan, walaupun berat hati, kami akan bawa ayah pulang seperti cadangan doktor tadi.

Aku dan Abang Lang pergi ke kaunter jururawat untuk urusan membawa ayah pulang. Adik beradik yang lain sudah pulang ke rumah ibu, membuat persiapan untuk kepulangan ayah nanti.
Ketua jururawat terkejut dengan keputusan kami. Dia minta kami berbincang dengan doktor yang bertugas terlebih dahulu. Selepas setengah jam menunggu, doktor pakar yang bertugas tiba. Setelah diberi penerangan oleh ketua jururawat apa yang terjadi, doktor tadi memberitahu dia tidak ada beri arahan supaya ayah dibawa pulang malah dia sendiri mahu ayah terus dirawat di situ. Aku menelefon Kak Ngah untuk kepastian, sememangnya bukan doktor itu. Lain namanya. Doktor Radhi memberi jaminan akan memberikan rawatan sebaik mungkin kepada ayah. Tidak perlu bawa pulang katanya.
Aku dan Abang Lang berasa lega. Doktor Radhi berjanji akan menyiasat siapa yang memberi arahan itu. Akhirnya ayah tetap di hospital itu untuk mendapatkan rawatan.

Malam itu giliran aku menemani ayah. Oleh kerana terlalu letih aku terlelap dihujung kaki ayah. Ayah memanggil aku. Katanya dia sudah sihat dan doktor benarkan dia pulang. Aku hairan. Tidak mungkin semudah itu. Wajah ayah masih lesu. Ayah tersenyum cuba meyakinkan aku. Aku peluk ayah kerana gembira. Tiba-tiba aku ditepuk dari belakang beberapa kali. Aku tersentak. “Encik, tolong beri pakcik minum boleh?” Oh! Dah Subuh rupanya. “Astaghfirullah hal azim, Aku bermimpi rupanya”. “Baiklah, biar saya yang beri” Aku ambil susu dari jururawat dan masukkan ke mulut ayah melalui tiub. Kasihan ayah. Dia masih kaku di situ.

Selepas solat Subuh aku datang semula. Kaki dan tangan ayah aku picit-picitkan dengan harapan dapat membantu ayah untuk pulih. Hari berikutnya kami menyusun semula jadual masing-masing untuk menjaga ayah di hospital. Abang Lang telah korbankan cuti tahunannya seminggu. Kami telah sepakat mengikut giliran supaya semua tiada masalah di tempat kerja.

Giliran aku tiba pada Ahad 22 Ramadhan. Dua hari sebelum itu ayah telah mula tunjukkan perkembangan baik. Ayah mula beri tindak balas apabila kakinya di sentuh. Jari-jari tangannya sudah ada pergerakan bila tangannya diramas-ramas ibu. Walaupun tidak banyak, itu sudah cukup untuk memberi semangat kepada kami. Ayah akan sembuh nanti. Tambahan pula pada 22 Ramadhan itu ayah sudah boleh membuka mata. Tiub bantuan pernafasan yang masuk melaui mulut terus ke paru-paru juga telah dikelurkan. Kolar yang menahan lehernya juga telah ditanggalkan. Kini ayah sudah boleh menoleh perlahan lahan kekiri dan ke kanan. Tapi dia masih lesu. Nampak tidak bertenaga. Sesekali dia membuka matanya. Kemudian tutup semula. Aku duduk di sisi ayah, sesekali aku bacakan Surah Yaasin supaya dapat memberi kekuatan pada ayah. Bacaan terhenti bila ayah menoleh dan seolah-olah bertanyakan sesuatu. Mulutnya bergerak-gerak tetapi suaranya tidak jelas. Beberapa kali dia mencuba, akhirnya dia penat dan dipejamkannya mata semula. Air mata keluar dari hujung matanya. Aku kesatkan dengan lengan bajuku. Sebak dan hiba mula membuak di dada. Aku cium pipinya, kemudian tangannya. Aku mohon maaf jika aku silap padanya. Kemudian aku sambung semula bacaan Yaasin. Setelah selesai, aku picit-picitkan tangan dan kaki ayah. Jari jemarinya aku ramas-ramaskan agar perjalanan darahnya lancar. Ayah terjaga. Sekali lagi dia cuba berkata-kata tanpa suaranya. Aku masih tak dapat memahami. Akhirnya dari gerak mulut ayah aku dapat jangkakan ayah bertanyakan ‘emak’. Mungkin ayah mahu jumpa ibu. Lalu aku menelefon adik supaya datang hantar ibu ke hospital. Ibu datang bersama adik pada waktu melawat.

Ayah tersedar bila ibu memicit-micit tangan ayah. Ayah membuka mata. Kepalanya diangkat perlahan-lahan sambil mulutnya bergerak-gerak seperti tanyakan sesuatu kepada ibu. “Ya, dah seminggu abang di sini”. Kata ibu perlahan seperti memahami maksud ayah. “Sekarang ini di hospital, dah baik nanti baliklah”. Mata ayah yang layu merenung tepat pada wajah ibu, seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Mulutnya bergerak gerak lagi. Ibu cuba memahami. Ayah pejamkan mata semula. Mungkin dia tahu kami tidak faham. Air matanya mengalir perlahan di tepi pipi. Aku tidak dapat menahan sebak. Tangan ayah aku genggam kuat. “Sabar ayah, ingat pada Allah, zikirlah ayah”. Aku cuba beri semangat yang aku sendiri tidak milikinya. Ibu pergi ke tepi tingkap. Dia merenung jauh ke luar. Aku  biarkan ibu sendirian dengan perasaannya. Seperti selalu, aku bacakan lagi surah Yaasin di tepi ayah.
Lewat petang 22 Ramadhan itu ayah diberi ubat lagi. Biasanya dia akan rehat lama selepas diberi ubat. Kesempatan itu aku menghantar ibu pulang ke rumah. Semenjak ayah di hospital, rutin kehidupan kami tidak seperti biasa. Kami banyak menghabiskan masa di hospital. Apa lagi yang mampu kami korbankan untuk ayah. Ayah yang sentiasa berkorban untuk anak-anaknya. Ayah yang membesarkan kami dari kecil. Walaupun ayah tegas, tapi dia penyayang. Ayah tidak pernah menunjuk-nunjuk kasih-sayangnya pada kami, tetapi siapa yang memahami pasti akan dapat merasa.

Malam itu aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur. Lama benar tidak ke pejabat. Aku tidak tahu apa yang berlaku disana. Langsung tidak ambil tahu. Aku benar-benar terkejut bila dapat berita ayah kemalangan. Aku tinggalkan ayah seketika bersendirian pada malam itu. Ayah nampak tenang. Dia masih tidur ketika aku meninggalkannya. Aku harap ayah akan semakin pulih, walaupun tidak seperti sediakala. Seperti kata doktor, andainya perkembangan ayah semakin baik, mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi ayah boleh dibawa pulang. Itu berita gembira buat kami sekeluarga biarpun ayah tidak boleh bergerak ke mana-mana. Kami sekeluarga telah berpakat untuk menjaga ayah. Berbagai persiapan akan dilakukan untuk memberi keselesaan pada ayah bila dia di rumah nanti. Jururawat juga telah mengajar kami bagaimana untuk beri ayah makan dengan tiub buat sementara. Malam itu aku pulang dengan perasaan lega. Esok Kak Teh akan menemani ayah pula.

Isnin 23 Ramadhan, aku mulakan kerja seperti biasa. Masuk pejabat dan duduk di kerusi, ah banyaknya kerja tertangguh. Tapi tak mengapalah, aku akan uruskan satu per satu. Perlahan-lahan aku cuba sudahkannya. Sesekali aku berhenti, ingat pada ayah, harap ayah semakin pulih hari ini. Aku teruskan semula buat kira-kira sebutharga. Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi, kak teh rupanya. Alhamdulillah, boleh tanya khabar ayah.
“Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikummussalam”
“Pak Cik kat mana”
“Pejabat”
“Kerja ya?”
“Ya, Kak Teh di mana ni?”
“Hospital..”
“Oh..ayah macam mana harini”
Kak Teh terdiam…
“Hello Kak Teh…”
Aku mula berdebar-debar.
“Ya…semalam Pak Cik jaga ayah macam mana keadaannya?” Soal Kak Teh
“O.k…nampak semakin pulih, ada tindak balas. Kenapa?”
“Hari ini ayah nampak lain, nafasnya kuat” kata Kakteh. Aku jadi serba tak kena. Sekejap aku duduk, kemudian berdiri. Aku berjalan ke tepi tingkap.
“Doktor ada tak?” Aku soal Kak Teh.
“Ada, mereka tengah uruskan ayah. Hendak pasang oksigen semula”.
“O.k…Kak Teh tunggu di sana ya, mungkin selepas pasang oksigen ayah akan baik semula tu”. Aku cuba tenangkan Kak Teh.
“Iya lah..”
Aku tidak boleh duduk diam di pejabat. Degup jantung makin kuat. Cuba sambung buat kira-kira, sikit sahaja lagi. Tapi semuanya serba tak kena. Tangan terketar-ketar perlahan. Akhirnya aku ambil keputusan untuk pulang sahaja. Aku akan ke hospital sekarang. Kemaskan meja ala kadar dan terus pulang. Motorsikal dipecut laju. Pedal minyak dipulas semahunya. Biar cepat sampai. Terasa perjalanan sangat jauh. Tiba-tiba telefon bimbit bergetar. Motorsikal diperlahankan dan aku berhenti di tempat yang sesuai di tepi lebuhraya. Kak Teh telefon.
“Pakcik..” Suara Kak Teh kali ini lain, bergetar dan perlahan.
“Saya”
“Ada kat mana?”
“Dalam perjalanan pulang, kenapa ni Kak Teh?”
“Ayah….. baru pergi…”kata-kata Kak Teh terhenti di situ. Terdengar dia menahan sebaknya.
“Kakteh bersabar ya, nanti saya sampai” Aku cuba tenangkan kak Teh, sedangkan aku sendiri sudah tidak tentu arah. Seperti dunia sedang dilanda ribut. Rasa terpukul dengan angin deras. Aku tongkat kan motorsikal dan duduk di atas rumput. Merenung jauh arah lebuhraya yang tak pernah berhenti. Sebuah motorsikal menghampiri dan berhenti.
“Assalamu’alaikum, ustaz jatuh motor ke?”
Aku menoleh padanya, dan menggeleng-gelengkan kepala.
“Maafkan saya, tapi kenapa ustaz menangis? Boleh saya bantu?” Tanya pemuda itu sambil duduk di sebelah. Dia nampaknya ikhlas. Aku tidak sedar air mata masih bergenang.
“Saya baru dapat berita….ayah baru meninggal…” Aku tidak dapat meneruskan kata-kata.
“Maafkan saya ustaz, bersabarlah, semua kita akan mati bila tiba masa, mungkin masanya sudah tiba, biarkanlah dia pergi dengan aman”. Katanya sambil menepuk-nepuk bahu aku. Benar kata-katanya itu. “Terima kasih”. Itu sahaja yang aku mampu. Aku teruskan perjalanan. Kini perjalananku tanpa seorang ayah.
Ramadhan kali ini meninggalkan kesan kepada kami. Mudah mudahan ayah ditempatkan bersama para shuhada’. Amin.
Bersambung kemudian…..
{ Kepada anda yang masih punyai ayah dan ibu, hargailah mereka sementara mereka masih bersama kita. Janganlah ditangguhkan sesuatu yang baik untuk mereka. Andai esok mereka diambil Ilahi, akan hilanglah peluang syurga untuk kita.Terima kasih kerana meluangkan masa }

Jumaat, 22 Julai 2011

Ringkasan pasal puasa (utk yg malas nak baca huraian panjang)





Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
” Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa.”
Manakala Rasulullah SAW telah bersabda :
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”



Pengertian Puasa
Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Syarat Wajib Puasa
  • Berakal
  • Akhir Baligh (Cukup umur)
  • Kuat atau mampu mengerjakan puasa
Syarat Sah Puasa
  • Islam
  • Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
Rukun Puasa
  • Berniat – Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
  • Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.
Perkara Yang Membatalkan Puasa
  • Makan dan minum dengan sengaja
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila
  • Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.
Orang Yang Diizinkan Berbuka Atau Tidak Berpuasa
  • Orang yang sakit
  • Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
  • Orang tua yang sudah lemah
  • Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.

Selamat datang Ramadhon

Mari sama sama kita hayati..


Selawat Murah Rezeki

Ramadhan oh Ramadhan

Indahnya Ramadhan, kini ia akan datang lagi, bulan yang penuh keberkatan. Mari manfaatkannya dengan amal ibadah. Selamat menyambut Ramadhan Al Mubaraq
 
KELEBIHAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi- 

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi- 

PENERANGAN HADIS 

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya. 

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. 

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat. 

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat. 

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924. 

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak. 

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja. 

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi. 

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak. 

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap. 

Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi. 

Adab-adab Ketika Berpuasa 

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya; 

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia; 

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal; 

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim); 

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai; 

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya. 


Lafaz Niat Puasa Sebulan

Selawat (Salamun salam- the best)

Marilah sama-sama kita hayati alunan selawat dan zikir ini, mudah mudahan akan membawa ketenangan. InsyaAllah.

Khamis, 21 Julai 2011

Doa Dhuha (untuk murah rezeki)

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuhaa itu waktu dhuhaa-Mu, kecantikannya adalah kecantikan-Mu, keindahannya keindahan-Mu, kekuatannya  kekuatan-Mu, kekuasaannya  kekuasaan-Mu, perlindungannya perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezki masih dilangit, turunkanlah, jika di bumi, keluarkanlah, jika sukar, mudahkanlah, jika haram, sucikanlah, jika jauh, dekatkanlah, berkat waktu dhuhaa, kecantikanMu, keindahanMU, kekuatanMU kekuasaan-Mu. Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”

Doa untuk kemenangan Islam (Qunut Nazilah)


Ya Allah ya Tuhan kami, kami letakkan Engkau di leher musuh-musuh kami.
Dan kami mohon perlindungan kepada Engkau dari kejahatan-kejahatan mereka.
Ya Allah ya Tuhan kami, hancurkan kesatuan mereka, leburkan kumpulan mereka,
Ceraikan pakatan mereka, goncangkan kaki-kaki mereka,
Dan perintahkanlah kepada mereka di kalangan tentera-tenteraMu ya Allah.
Wahai Tuhan Yang Maha Mengalahkan, Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Pembalas.
Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Al-Qur’an dan yang menggerakkan awan,
Tuhan yang menewaskan tentera-tentera Ahzab,
Tewaskanlah mereka dan berilah pertolongan kepada kami untuk menewaskan mereka.
Cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik penolong.
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.
Amin, ya Robbal `Alamin.
terima kasih kepada arabmykrk.com

yang akan tinggal

Maha suci Allah, Tuhan yang memerintah seluruh 'alam, yang Maha Berkuasa di langit dan di bumi.Sesungguhnya, tiada kehidupan yang kekal abadi melainkan Allah. Hari perhitungan yang maha hebat dan dahsyat, itulah kehidupan yang maha kekal. 
Dunia yang penuh kelekaan dan melalaikan ini akan ditinggalkan. Tiada lain yang dibawa sebagai bekal hanyalah amalan soleh. Segala yang dicari, yang dimiliki, yang dihitung setiap hari hanyalah untuk duniawi. Apa yang akan tinggal dan apa pula yang akan dibawa ? Sebagai insan yang kerdil dan hina, mohonlah kepadaNya agar dikuatkan iman kita.